Saturday, 30 April 2011

Mencari rumah sewa di kota London?

Assalamualaikum.

Tulisan ini ditujukan kepada rakan-rakan yang sedang giat mencari rumah untuk disewa bagi tahun akademik akan datang. Penekanan adalah pada panduan memilih ahli rumah, mencari rumah, membuat keputusan dan beberapa nasihat atau teguran berdasarkan pengalaman peribadi yang singkat di London. Semoga bermanfaat.


Memilih ahli rumah, mencari rumah dan membuat keputusan


1.Carilah sahabat-sahabat yang dapat memahami antara satu sama lain kerana anda akan berkongsi dapur, tandas, ruang tamu bahkan bilik tidur dengan mereka. Lebih baik lagi, carilah orang yang boleh menghidupkan dan menjaga suasana harmoni di dalam rumah dan dalam masa yang sama mudah menerima teguran. Jika tidak, sengsaralah hidup anda selama setahun. Ini adalah kisah benar hasil pengamatan peribadi terhadap rakan-rakan sekitar London dan UK.


2.Jangan banyak sangat pilihannya(rumah dan orang), nanti pening.


3.Kadang-kadang, ada tuan rumah yang hanya membenarkan bilangan orang yang tinggal di rumahnya hanyalah mengikut bilangan bilik. Tanya dahulu ya.


4.Pilihlah kawasan yang memudahkan kalian melakukan aktiviti asas contohnya ke masjid, ke universiti, berjumpa kawan dan masyarakat, menyambut tetamu dan sebagainya yang dirasakan sesuai.


5.Kebiasaannya, jika harga sewa yang diiklankan ialah harga "per week", jumlah sewa sebulan ialah dengan mendarabkan harga tersebut dengan 52 minggu dan dibahagikan dengan 12, bukan terus didarab dengan empat. Harganya akan lebih banyak. Jangan terpedaya.


6.Bagi mengelakkan daripada ditipu, pastikan anda mengadakan pertemuan dengan ejen atau pengiklan tersebut di rumah berkenaan dan tahu akan kewujudan syarikatnya (nama, nombor pendaftaran dan lokasi pejabat). Jangan sesekali melakukan online transfer sebelum terbukti rumah tersebut wujud dan kontrak sewaan ditandatangani. Dinasihatkan untuk menggunakan banker's cheque/draft untuk lebih selamat sebab bank sendiri yang akan authorize bayaran tersebut (bank akan pastikan kewujudan estate agent tersebut).


7.(Bagi ejen yang ketat syaratnya)Jenis penyewa dan pembayaran. Ada tiga syarat penyewa persendirian yang dikaitkan dengan cara pembayaran yaitu:


i) Ada pekerjaan dan pendapatan yang mencukupi-dibuktikan dengan slip gaji(tidak termasuk financial guarantee)

ii)Jika tiada pendapatan, perlukan penjamin (guarantor)- setiap orang atau seorang sahaja untuk semua

iii)Jika tiada penjamin, perlu membayar pendahuluan sewa untuk 6 bulan. Kemudian, 6 bulan lagi.

*bagaimanapun, kebanyakan ejen agak baik dengan sistem bayaran tiga bulan atau sebulan sekali.


8.Penting - Pastikan semua orang menandatangani kontrak supaya tiada orang yang tidak bertanggung jawab keluar di tengah-tengah tempoh sewaan! Lainlah kalau ada orang yang sanggup bayar lebih bila ada orang keluar.


9.Periksa dan jaga inventori dengan baik. Jika tidak, ada risiko kehilangan deposit.


10.Tinggallah dengan aman di mahligai yang terpilih itu. Rumahmu, syurga duniamu.


Nasihat


1.Mulai dari sekarang (April), perlu putuskan samada hendak mendantangani kontrak bermula Jun/Julai atau Oktober(selepas cuti musim panas).


i)Jika bermula Jun/Julai, janganlah pula membeli tiket balik ke Malaysia sebelum tarikh tanda kontrak atau sebelum masuk ke rumah. Kelak, susahkan orang lain untuk buat kerja kita terutamanya hal pemindahan barang. Lainlah kalau simpan di mana-mana storage sebelum balik.


ii)Jika bermula Oktober, janganlah menumpang barang di rumah orang-orang yang mulakan kontrak mereka pada Jun/Julai. Bagi saya, itu adalah sikap mengambil kesempatan dan saya gelarkan sebagai opportunist, jika alasannya hanyalah untuk jimatkan wang sendiri. Lainlah kalau ada hal-hal yang tak disangka-sangka atau tak dapat dielakkan (boleh fikir sendiri guna common sense). Biasalah, setiap perkara mesti ada kes-kes terpencil. Yang penting, janganlah kita mengambil kesempatan atas kehabisan duit orang lain. Lebih baik hantar storage. Lagi bermaruah dan bukanlah mahal sangatpun.


2.Carilah rumah awal-awal. Nanti sibuk pula untuk mula belajar kalau nak tunggu Oktober. Maka, terpaksalah menumpang rumah orang lain yang dah mula kontrak seawal Jun/Julai.


3.Bagi rumah yang tidak inclusive sewaannya, anda perlu uruskan bayaran bil-bil gas dan elektrik, telefon dan internet dan air. Pengalaman saya, jumlah yang kami (5 orang) bayar setiap orang ialah sekitar £30 sebulan untuk kesemuanya. Anggaran kasar:


Gas dan Elektrik £100.00

Telefon (landline untuk internet) £11.50

Internet £18.00

Air £25.00

Jumlah £154.50


4. Belajarlah berdikari untuk menguruskan sendiri keperluan asas anda. Tempat tinggal dan hal-hal yang berkaitan dengannya adalah keperluan asas sepertimana makan, minum dan keluar masuk tandas. Jangan biarkan orang lain melakukannya untuk anda.


Itu sahaja daripada saya setakat ini. Jika ada lagi, saya akan kongsi. Kalau nak bertanya boleh hubungi terus. Kalau perlukan bantuan, saya hanya akan bagi tukul dan pahat, anda yang membinanya sendiri. Apa jadi, Allahua'lam:)


Barakallahufikum.


Sunday, 10 January 2010

Nur di Norway



Assalamualaikum dan selamat kembali ke sekolah




Perjalanan ke Oslo pada 5 dan 6 Januari lalu amat menarik dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadapku walaupun awalnya seakan kecundang dengan ketajaman suhu sejuknya yang menusuk ke badan yang berdarah panas ini.

Namun, rahmat Allah yang begitu luas telah merehatkanku dan memberi harapan untuk aku meneruskan pengembaraan di Norway. Semuanya bermula di sebuah masjid dekat lorong Toyenbekken, Oslo City bersebelahan Bus Terminalen (terminal bas), kata orang Norway yang dikenali sebagai Norwegian. Masjid ini dengan nama rasminya Oslo Islamic Cultural Centre menjadi tempat aku dan Faris merehatkan diri di bawah naungan rahmatNya bersama heater yang diidam-idamkan sewaktu kesejukan menunggu train dari Rygge ke Oslo S. Di sinilah juga tempat pertemuan kami dengan beberapa saudara muslim yang menetap di Oslo yang seterusnya membina ikatan ukhuwah yang teguh secara yang tidak kami sangkakan. Semuanya takdir Allah.



Namun, ini takkan terjadi sekiranya kami tidak mengamalkan sikap suka berkenal-kenalan sesama muslim walau apa jua latar belakang, warna kulit, bangsa, bahasa dan kelas mereka kerana ukhuwah Islam itu tanpa sempadan. Ini kerana, kebanyakan orang Melayu Muslim Malaysia di UK selalunya agak susah untuk bertegur sapa dengan brother-brother muslim di sini dan mereka selesa pula bersama rumpun sendiri.

Selepas masjid selesai solat asar berjemaah, beberapa brother mengajak kami untuk makan bersamanya. Maka, dengan segan silu dan perut yang berkeroncongnya, kami terimalah tawaran tersebut. Orang buat baik, jangan ditolak!



Namun, sampai sahaja di depan kedai, brother tersebut berubah fikiran(atau mungkin malu-malu menyatakannya daripada awal,heheh,perasan pulak pelancong bajet ni), beliau bertanya kepada kami samada ingin makan masakan homemadenya atau makan sahaja di kedai itu. Kami menjawab, "I follow you!" sambil dalam hati teruja juga kerana beliau sanggup menjemput kami ke rumahnya dan memasak pula untuk kami. Makin malu-malu aku dibuatnya.

Seterusnya, dirumahnya yang ada satu bilik tidur itu, aku terkejut kerana mereka tinggal seramai lima orang di situ. Maka, tahulah aku mereka ni bukannya orang yang senang. Ia makin membuatkan aku rasa keseganan dengan layanan baik mereka walaupun hidup taklah sesenang mana. Mereka memasakkan kari ayam ala mamak (di Malaysia) dan kami makan bersama seramai 7 orang. Saat ini mengingatkan aku bagaimana layanan terhadap tetamu yang telah aku berikan. Mereka yang tidak senang itupun memuliakan tetamu dengan sebaik-baiknya walaupun ada sebahagiannya tidak dapat berbahasa Inggeris tetapi cuba juga berinteraksi dengan kami dengan bantuan terjemahan sahabat yang lain yang mampu berbahsa Inggeris.




Kehidupan mewah aku sebagai pelajar tajaan kerajaan Malaysia sebenarnya tidak menjamin aku untuk berlaku baik dengan tetamu. Hanya pesahabatan yang disentuhi iman sahaja yang mampu membuatkan aku melayan tetamu dengan bersungguh-sungguh. Mereka yang hidupnya agak sederhana begitu sekali memuliakan tetamu tanpa membeza-bezakan dan mencurigai kami daripada awal. Harun berkata apabila aku menyatakan rasa serba salahku terhadap layanan istimewa mereka terhadap kami sebagai orang asing yang baru dikenali beberapa jam,"It's alright brother, it's an honour to have you as our guests." Zaki pula berkata," don't worry, this is Allah's work, not ours." Maka, aku sangat-sangat berterima kasih kepada mereka.

Sebelumnya, aku ada meminta tolong Ahmed mencarikan tempat penginapan yang murah untuk kami dan beliau menyatakan," you don't have to think about that, we solve it for you." Kami sememangnya telah menyimpan beberapa alamat youth hostel sekitar Oslo tetapi tidak menempahnya dari awal dengan harapan dapat yang lebih murah dengan bantuan orang muslim tempatan yang lebih mengetahui. Tetapi, alangkah terkejutnya aku selepas makan, mereka menawarkan kami untuk tidur sahaja di rumah mereka. Aku menjadi semakin serba salah dengan tawaran tersebut kerana rumah mereka sememangnya tersedia padat. Bagaimanapun, dengan hati yang luhur, kami terima sahaja tawaran itu.



Sedikit selingan, mereka juga merupakan muslim yang taat pada perintah Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Mereka sangat menjaga ibadat mereka. Antara yang aku kagum mengenai mereka ialah, ketelitian mereka menjaga kebersihan. Sangat jarang aku menjumpai lelaki yang menitikberatkan hal-hal kebersihan seperti mereka terutama sekali kebersihan dapur dan bilik tidur. Dapur mereka tidak berbekas walaupun baru sahaja digunakan untuk memasak. Semuanya siap dikemas selepas selesai menjamu. Bilik tidur pula tidak bersepah dengan pakaian yang tidak berlipat-lipat dan bersepah-sepah seperti kebanyakan lelaki termasuk para pendakwah yang berdegar-degar di pentas dakwah masing-masing.



Pada malamnya, setelah pulang daripada berjalan-jalan di sekitar bandar Oslo melewati Karl Johan Street, Palace, National Theatre, Oslo University dan banyak lagi, kami bersembang-sembang dan berkenalan dengan lebih rapat tentang kehidupan masing-masing dan bagaimana kami boleh sampai kepada keadaan sekarang ini. Cerita-cerita yang dikongsikan sangat menyentuh hatiku dan memberikan inspirasi kepadaku untuk lebih bersyukur, memanfaatkan sebaiknya keupayaan yang ada dan terus menyumbang kepada ummah dengan lebih istiqamah. Semoga Allah tidak melenyapkan kisah-kisah ini daripada ingatanku.Amiin!



Keesokannya, aku dan Faris meneruskan perjalanan ke masjid lain di Calmeyers Gate untuk berkumpul dengan Iq, Apen dan Eg. Di masjid tersebut juga kami sempat berkenalan dengan sahabat yang baik-baik. Ada seorang pak cik menawarkan khidmatnya dalam bahasa Arab yang berbunyi,"do you need help?Nahnu fi khidmah(kami memang sedia membantu)." Kami berterima kasih kepadanya kerana kami memang sudah mempunyai perancangan yang tersendiri hari tersebut. Kemudian datang seorang anak muda lagi sebaya kami berkenalan, Abdul Kadir namanya. Beliau begitu seronok berkenalan dengan kami dan sanggup menawarkan apa-apa pertolongan kepda kami.

Namun, memandangkan kami akan pulang pada hari tersebut, beliau begitu kecewa kerana tidak mampu menolong kami dengan sebaiknya. Walauapapun, kami tetap berterima kasih atas niat baiknya dan beliau mencadangkan kami untuk datang lagi sewaktu summer kerana ia sememangnya tempoh waktu yang cukup indah di Norway dan beliau menyatakan yang beliau akan kecewa jika kami tidak meminta pertolongannya nanti jika kami direzekikan Allah untuk datang lagi ke Oslo. InsyaAllah dan terima kasih adalah balasan kami terdadap pelawaannya.



Seterusnya kami berlima mendapatkan Oslo Pass yang berharga 184 Krone untuk pelajar selepas potongan sebanyak 20%. Dengan menaiki bas, kami menuju ke Folkmuseet(Folk Museum) dan seterusnya ke Skipmuseet(Viking ship museum). Selepas itu, kami pulang ke masjid di lorong Toyenbekken berhampiran terminal bas tersebut dan ini memudahkan Iq, Apen dan Eg untuk menaiki bas ke Moss Airport nanti selepas solat Isyak. Aku dan Faris pula bakal menaiki train ke Rygge Airport di Oslo Sentral Stasjon.

Aku bertemu kembali dengan Zaki, Harun dan Ahmed di masjid tersebut. Kami berborak sebentar dankemudiannya mengucapkan selamat tinggal antara satu sama lain lebih kurang pukul 6.15 petang waktu tempatan(satu jam awal bebranding UK). Saat itu sunnguh mengharukan dan kami berpelukan begitu erat antara satu sama lain. Aku masih tidak dapat melupakan kata-kata Ahmed,"Come again next time, you came at the wrong time." Memang wrong time pun, ketika suhu di tahap -20 darjah celcius nilah jugak aku datang!



Tetapi, ukhuwah tidak mengenal kerendahan suhu, kepayahan meredah salji tebal dan kesukaran berbahasa.

Wrong time itulah yang menghubungkan aku dengan mereka.

Wrong time itulah menyebabkan aku berkira-kira untuk datang lagi ke Norway waktu summer nanti.

Wrong time itulah yang memberikan aku "NUR" di Norway.

Sekian, perkongsian pelancongan bajet dan singkat di Oslo, Norway, Nur bagiku di puncak Eropah.

Friday, 25 September 2009

Kembara Di Ambang Raya II

Rupa-rupanya aku kehilangan boarding pass atau pas penerbangan. Kerana tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, aku menggelabah tidak tentu arah. Cuba berpatah balik mencari kalau-kalau tercicir sewaktu menggunakan mesin imigresen automatik kerana aku rasa aku menyelitnya di dalam pasport. Namun tak ketemu jua. Setelah kesuntukan masa, aku diberitahu untuk ke transfer desk atau meja persinggahan dekat dengan pintu pelepasan. Sedangkan, boleh sahaja aku pergi awal-awal dan terus minta pegawai di situ buat yang baru untuk aku. Adoi....berpeluh-peluh aku berkejaran ke sana ke mari. Pi mai pi mai tang tu jugak.

16 September 2009

Transit 19 jam 20 minit di Brunei sangat membosankan dan aku pula tidak bercadang untuk keluar meronda-ronda kerana letih dan pernah sudah aku ronda-ronda Bandar Seri Begawan sewaktu transit dari London ke Kuala Lumpur tiga bulan lepas. 10 jam yang itu pun sudah kurasa membosankan.

Aku menyewa sebuah bilik di lapangan terbang Brunei. Setelah petang lebih kurang 5.45pm, aku keluar dan melayari internet sementara menunggu waktu berbuka masuk. Alhamdulillah! Komputer kat situ dilengkapi dengan kemudahan skype. berbaki kredit yang ade sebanyak beberapa pound, aku buat panggilan kepada mama dan sanak saudara. Hatiku hiba. Jauhnya aku keseorangan di perantauan meninggalkan mama dengan sakit rindu. Menitis juga air mataku.

Setelah dipanggil lebih kurang pukul 7.20pm, aku bergerak ke tempat pemeriksaan keselamatan sebelum masuk ke dalam kapal terbang. Aku meletakkan beg galas yang mengandungi laptop untuk di scan. Kemudian semua barang yang berasaskan besi seperti tali pinggang, jam casio tercinta yang bernilai RM 50 yang aku beli sebelum fly ke UK tahun lepas termasuk juga cincin permata delima yang dihadiahkan Cikgu Ripin, aku masih memakainya. Terima kasih kuucapkan.

Masuk sahaja ke dalam kapal terbang, sekali lagi aku kehilangan pas penerbangan. Aku tak tahu mengapa kali ini aku begitu cuai. Ini bermakna, aku kehilangan kesemua pas penerbangan. Mungkin akan sedikit bermasalah sikit bila transit di Dubai nanti. Tapi aku tidak terlalu runsing sebab aku tahu memang syarikat penerbangan telah sedia mempunyai data pelanggan mereka. Perkara yang paling aku tunggu-tunggu ialah makan malam walaupun baru tadi berbuka puasa dengan nasi berlaukkan ayam masak kicap dan sambal telur. Lepas makan baru aku berasa aman untuk tidur. Patutlah mesin penimbang tidak pernah bermurah hati untuk tawar menawar dengan aku bila aku menimbang berat. Adeh....

Transit selama lebih kurang sejam di Dubai tidaklah terlalu membosankan. Sempat juga aku 'membetulkan urat' bak kata orang Kelantan setelah lama terperuk dalam kapal terbang.

17 September 2009

Sesampainya di London Heathrow Airport pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, aku terasa makin syahdu. Aku menangis lagi dalam keadaan perasaan yang bercampur baur. Sedih meninggalkan kampung halaman, gembira dapat meneruskan perjuangan lagi di UK(London) dan teringatkan peristiwa-peristiwa sepanjang 3 bulan bercuti panas di Malaysia.

Kali ini ada perubahan di imigresen. Aku tidak lagi perlu masuk dalam lorong "First time students and dependents" malah aku berjalan dengan tenang ke lorong "Non-EU passport dan continuing students."Terbayang-bayang kali pertama sampai ke UK dulu dan berbaris di lorong yang sebelah itu bersama Pali, Iman dan beberapa pelajar perempuan lain memakai kot yang bernilai RM 400 tetapi dengan muka baru bangun tidur dan belum mandi.

Aku menelefon Iqtidar yang sudah sampai sehari sebelum bersama Faris. Kedua-duanya merupakan teman serumah aku. Sesampainya aku di 74 Lapworth Court, aku bersalaman dengan Iqtidar dan Faris. Hajat awalnya ingin tidur tetapi tidak jadi kerana rumah sudah dilengkapi dengan kemudahan internet yang aku tidak ada sewaktu di rumah di Bachok. Terasa bagai dibius pula bila menghadap laptop. Mengantuk tidak terasa.

Masih berbaki tiga hari untuk berpuasa. Aku harap dapat menyempurnakannya dengan amat baik memandangkan aku akan berpisah dengan Ramadhan dan tidak pasti adakah aku masih bertuah untuk menjadi tetamu Ramadhan pada tahun 1431 Hijrah nanti.

Setakat itu sahajalah dahulu Kembara di Ambang Raya berakhir. Sekadar coretan hati yang rindukan kenangan lalu.

Sekian, terima kasih.




Saturday, 19 September 2009

Kembara Di Ambang Raya

Selasa 15 September 2009

Hari ini merupakan hari yang menyedihkan. Mama dan juga aku dan orang-orang di sekelilingku yang kurang dapat menerima bahawa aku 'harus' bertolak pulang ke London lima hari sebelum raya. Aku berharap keputusan yang aku buat sewaktu membeli tiket enam bulan lalu itu adalah yang terbaik untukku di sisi Allah dan aku amat mengharapkan keampunanNya andai keputusan itu melukakan hati orang-orang tersayang dalam hidupku terutamanya mama. Seusai zohor di Masjid Pak Su Hj Lah, aku bersalaman meminta maaf dengan jemaah dan mengucapkan selamat tinggal.

Hampir pukul tiga petang, semua yang ingin menghantarku berkumpul di rumahku. Ayah dengan Mok ditemani Abe Solah tiba di rumah sebelum zohor lagi. Cikgu Ripin, Mok Su Mah dan Arif pula tiba hampir-hampir pukul tiga.Aku sungguh menghargai kehadiran mereka. Walaupun mereka bukan daripada keluarga terdekatku, aku menganggap mereka seperti ahli keluargaku sendiri, seperti yang dituntut oleh Islam. Bukan senang nak cari orang yang sanggup menghantar kita ke airport kalau dia bukan dari keluarga terdekat. Ini membuatkan aku lebih dekat dengan mereka. Terima kasih tak terhingga aku ucapkan. Moga ukhuwah kita akan terus berkembang mekar.

Aku memandu kereta mama buat kali terakhir. Bersama di dalam kereta, Li dan Iq. Tepat jam 3.30pm waktu Malaysia, aku tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan bersedia untuk check-in.



Kemudian, kulihat kelibat Mok Su, Pok Su Lid dan Imran. Dalam celahan orang ramai, aku nampak juga Aqil dan Ikrami. Rupanya mereka datang dengan Mok. Aqil , Imran dan Ikrami memang si cilik tiga serangkai yang tak dapat dipisahkan. Aku sentiasa cuba menerapkan elemen pendidikan apabila bersama mereka. Agar kanak-kanak ini dicorakkan dengan minda yang sihat. Aku cuba mendidik mereka berfikir di luar kotak dan juga menjadi orang yang berani dalam banyak perkara seperti memanjat, masuk hutan. Kerana kebanyakan budak-budak zaman sekarang sangat penakut dengan semut, kumbang, hutan, ulat, lumpur dan macam-macam lagi yang menjadi kebiasaan aku sewaktu seusia mereka. Sekali-sekala, kuterapkan teka-teki mengenai sirah nabi-nabi dan soalan matematik yang sedikit tinggi daripada apa yang mereka belajar di sekolah.


Selepas check-in, aku mulakan sesi bergambar. Sangat kuinginkan saat ini sebab tahun lepas ada masalah dengan kamera menyebabkan hanya dua keping sahaja yang sempat diambil.

Flight yang asalnya pukul 4.35pm ditunda ke pukul 5. Sebelum pemeriksaan keselamatan, aku bersalaman dan berpelukan. Bermula dengan mama, bersama pelukan yang erat, hatiku mula sayu. Namun, aku tak mampu menangis. Semua yang kumahu sekarang ini hanyalah keceriaan. Aku cuba senyum dan ketawa sedikit. Maaf dipinta seiring ucapan Selamat Hari Raya dan juga ucapan terima kasih kepada semua yang hadir.




Selepas pemeriksaan keselamatan, aku tidak boleh keluar lagi. Bila kulihat papan makluman, flight ku ditunda lagi. Kali ini ke pukul 6.05 pm. Aku sedikit kecewa.

Sesampainya di KLIA, abang-abang aku, Abe Mat dan Dek menunggu bersama Apih dan Ee. Kami berbuka bersama di food garden.

Abe Mat menghadiahkan aku sehelai baju yang dijualnya dan sedikit cenderahati dari Hong Kong. Aku isikannya ke dalam beg yang sememangnya sudah sedia penuh dengan cenderahati dan makanan. Aku sangat menghargai semuanya. Tidak mampu untuk membalasnya.

Lebih kurang jam lapan malam, aku mula check-in bagi penerbangan ke Brunei. Tak lama kemudian, abah sampai bersama Pok Cik Ali. Kami semua berkumpul dan berborak seketika sementara menunggu aku berpisah dan menuju ke tempat pemeriksaan keselamatan.





Sebelum berpisah, kami bersalaman dan berpelukan. Aku sangat merindukan saat tersebut. Aku minta maaf dan mengucapkan salam perpisahan seterusnya menaiki aerotrain ke Pintu C 11.

Hampir-hampir menaiki aerotarin, aku perasan yang aku kehilangan sesuatu. " Allah," aku melatah sendirian. Tidak jadi melangkah ke dalam aerotrain itu.

InsyaAllah akan ku sambung lagi dalam update yang akan datang.

Friday, 22 May 2009

Learning from the Prophet

Assalamualaikum and Salam Ukhuwwah.

Many people read books about our last prophet, Muhammad pbuh. The books vary in their own aspects behind the stories of the Prophet. However, I really like this one written by Tariq Ramadan(grandson of as-Shahid Imam Hasan al-Banna). It is entitled The Messenger, The Meanings of The Life of Muhammad. It can be found in Borders, Waterstones and other book stores.

What attracts me most is how he arranged the selected and the most important events in the history of the Prophet Muhammad pbuh. It is also different from many books about the Prophet's seerah because, he included the message behind every event so that we can really see what and how we can apply it into our life today even though it happened 1400 years ago.

All of the ideas are also backed by al-Quran and al-Hadeeth from solid references like Sahih Bukhari and Muslim and As-Sirah an-Nabawiyyah by Ibn Hisham for the interpretation of the events that took place.
It is also good for those who are not familiar with Arabic terms because the author put the meaning for each Arabic term.

The ideas are not highly critical presented but it is still good as in gaining knowledge about the seerah and what it means to us especially the muslims today.

Besides that, click here if you want to get know this great writer of the book, Tariq Ramadan.

That's all I can share for the time being and I'm hoping to finish more books after the exams. InshaAllah.

Hope you have become interested after reading this mere sharing from me who believes that a big change comes from small contributions.

Thank you.

Thursday, 14 May 2009

Aku seorang Muslim Melayu Malaysia yang hidup di UK

Aku bangga dipuji muslim lain yang muslim Malaysia adalah 'best muslim', tapi ape sumbangan aku terhadap komuniti Islam kat sini?Adekah aku tolong mereka mase mereka hendak buat ceramah? Adekah aku menawarkan diri untuk terlibat same dalam menggerakkan aktiviti persatuan Islam di sini? Maka, janganlah hendaknye aku mengkritik kalau pergerakan persatuan Islam kat sini tidak cekap.

Aku tahu yang mengumpat atau mengata orang apatah lagi depan-depan adalah sangat salah di sisi Islam dan mengumpat pula adalah DOSA BESAR(al-Hujurat 49:12)! Tapi, aku selalu mengata-ngata orang kat sini depan-depan mereka dengan kawan-kawanku dengan bahasa yang tidak mereka fahami! Sepatutnya, aku menganggap bagaimana kalau dia faham, semestinye dia sakit hati dan menyakitkan hati orang itu adalah satu dosa! Mungkin juga kalau dia faham apa yang aku cakapkan, akan tercetus pergaduhan, maka perbuatan aku tu memang sesuatu yang melampau tahap keburukannya di sisi agama apatah lagi sebagai pendakwah!! Macam ni ke nak berdakwah pasal Islam?

Aku kata main game dan baca komik adalah jahiliyyah, tapi sebenarnye aku tak main game sebab aku memang tak suke main game tambah-tambah yang sangat panjang mase yang diperlukan untuk menghabiskannye. Senang la nak kate kat orang. Tapi aku dengar lagu-lagu yang tidak berfaedah atau jugak lagu yang dinyanyikan perempuan, tak pula aku kate jahiliyyah, sebab aku rase bende yang aku suke adelah bukan jahiliyyah.Tapi, kalau bukan jahiliyyah, adakah aku baca BISMILLAH sebelum buat semua tu?

Aku pelajar tajaan duit rakyat Malaysia walaupun keputusan SPM aku tak seberapa, tapi aku kadang-kadang ponteng kelas! Adakah orang yang bagi aku duit untuk aku belajar akan terus bagi duit dia kat aku kalau dia tahu aku ponteng kelas?Aku pun tak tahu kenapa bende tu berlaku terhadap aku dan berlanjutan lebih kurang 3 hingga 4 bulan!Astaghfirullah! Maafkan aku pembayar cukai Malaysia......

Aku kate aku lelaki sejati. Masa kat kolej dulu, aku suke sangat tiru gaya budak-budak gedik. Aku ingatkan tiru-tiru sahaje, tapi orang kate aku kuat sangat buat gaya-gaya cakap macam tak berape lelaki tu. Aku menafikan, aku kate takde pon,jangan risau,aku lelaki sejati, aku saje je tiru. Tapi, bile aku fikirkan balik, perlukah aku meniru-niru gaya yang seperti itu?Aku pendakwah. Bagaimana kalau orang yang aku nak dakwahkan lihat aku sentiasa menggunakan perkataan atau gaya bahasa dan badan yang lebih kurang same dengan orang yang tak berape sejati kelelakiannye itu?Akulah yang bersalah kalau orang lari daripada pendakwah!

Aku kate Islam mempunyai penyelesaiaan terhadap masalah perkauman. Semua kaum dari pelusuk dunia dapat berkenalan dan menjalinkan ukhuwwah dalam sekelip mata perkenalan. Tapi, aku hanya berkawan dengan orang-orang Melayu, malah dari kolej yang same juge, rakyat Malaysia yang berbangse lain,brother-brother Islam yang lain, aku tak kisahpun kalau aku tak kenal mereka dan menjalinkan persahabatan yang akrab. Sedangkan mereka selalu memuji-muji orang muslim Malaysia. Ape gunenya datang UK kalau tak ambil kesempatan untuk bina jaringan antarabangsa terutamanya dengan orang-orang Islam kat sini? Syok sendirikah aku dengan Muslim Melayu Malaysia? Sedangkan dunia dakwah itu tiada semapdan warna kulit, bahasa dan geografi!

Aku kate aku pendakwah Islam. Apakah dakwah yang telah aku lakukan? Kalau setakat pergi usrah, berteori pong pang pong pang, tapi hanye sesame kumpulan usrah aku je, adakah itu dakwah? Rasulullah berteori dan menjalankan dengan praktikal, kenapa tidak aku? Bukankah dakwah itu meneyru orang yang jauh untuk dekat dengan Islam? Pernahkah aku menyeru orang yang jauh itu? Atau hanya syok sendiri dengan orang yang sememangnye dekat dengan Islam? Maka tidak hairanlah kalau orang yang jauh dengan Islam itu makin jauh. Semuanya sebab aku sangat memilih-milih dalam berdakwah. Saidina Umar ra didoakan oleh Rasulullah untuk menjadi salah seorang yang dapat mengangkat keagungan Islam walaupun beliau seorang yang sangat kuat menentang dakwah Rasulullah saw. Tapi, kalau dengan konsep memilih-milih, aku tak rase aku akan jadikan orang yang macam Saidina Umar ra(semase sebelum Islam) sebagai sasaran dakwah aku. Aik! Rupe-rupenye beliau adelah khalifah kedua umat Islam selepas Baginda Rasulullah saw wafat! Maka dakwahku perlu jadi lebih terbuka. Yang penting, semua orang perlu diberi peluang untuk mengenal Islam dan dakwah, bukannya dijauhkan dari peluang tersebut dengan penilaian aku yang dangkal terhadap mereka.

Aku kate tarbiyah yang aku ade memang lengkap. Tapi, kalau datang UK dengan cabaran yang sikit itu pun dah tak mampu nak sentiasa kekalkan solat jemaah lima waktu, adekah itu hasil tarbiyyah? Solatlah ukuran utame. Semua jenis solat. Rawatib, tahajjud, hajat, taubat dan Qiamullail, semua tu penguat jiwa yang dahagakan tarbiyah. Kalau jiwa tak kuat, janganlah nak salahkan orang kalau mereka susah hendak faham mesej yang kita cuba bawa.

Aku kate aku ingin melentur nafsu aku agar menurut akal, tapi berape hari sahaja aku puase sepanjang winter yang siangnya pendek berbanding malam? Bile tibe summer, mulelah beralasan yang siang sekarang sangat panjang. Tak larat nak puase. Patutlah nafsu aku meliar dan sentiasa meronta-ronta.

Aku kate aku sibuk dengan kerja itu dengan kerja ini. Adekah orang lain tidak sibuk? Bagaimana Islam nak berkembang kalau Nabi Muhammad saw tidak sibuk siangnye dengan masyarakat dan malamnye untuk Allah?

Aku buka blog, bukan untuk menyeru mendoktrinkan orang dengan ape yang aku fikir tapi untuk muhasabah bagi kebaikan aku dan juga dalam masa yang sama dapat menyeru orang yang jauh menjadi lebih dekat kepada Islam. Tapi mengapakah aku tidak menguar-uarkan yang aku ade blog? Malu untuk berkongsi dan dikritik mungkin.

Aku datang UK dengan tajaan rakyat Malaysia, mesti ade sesuatu yang aku boleh dapatkan kat sini tapi tak boleh nak dapatkan kat Malaysia. Kalau setakat nak cemerlang akademik dan aktif dengan aktiviti tarbiyah, kat Malaysia lagi bagus, banyak dan senang. Dalam mase yang same, tak perlu tinggal keluarge untuk mase yang panjang. Tapi ape yang aku dah dapat setakat ni? Kalau program-program yang bermatlamat menambah kemahiran luar bidang, ekonomi, penampilan diri, perbincangan isu semase, pendedahan mengenai budaya yang ade kat sinipun aku tak pergi, tiadelah bezanya kalau aku belajar sahaje kat Malaysia.

Sebab itulah Aku Sedih.....

Maka, dengan terteranya segala masalah di atas yang timbul sejak sebelum aku datang ke UK lagi, aku harap aku dapat menyelesaikannya sebaik mungkin sebelum aku pulang ke Malaysia 8 Jun 2009 ini(naik Royal Brunei Airlines,heheh).

Setakat ini, perkembangannya agak positif, walaupun kadang-kadang terumbang-ambing. Bagaimanapun, aku berharap untuk cuti summer nanti, aku dapat melengkapkan diri dengan lebih baik agar tahun kedua aku di UK bertambah baik berbanding tahun satu yang amat jagung itu. Aku harap, segala masalah di atas terutamanya yang melibatkan solat dan dosa-dosa besar (mohon ampun dariMu ya Allah) tidak akan berulang lagi.


Wednesday, 13 May 2009

Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?

Alhamdulillah. semalam, tamatlah riwayat pengulangkajian bagi subjek Probability and Statistics pada pukul 4.45pm yang bertempat di bangunan King William 016. Saya berharap segala jawapan yang dipersembahkan sama dengan apa yang dikehendakai oleh Mahaguru Dr Ramesh Nadarajah.

Hari ini, lawatan ke East Ham diadakan dan pesertanya ialah saya, Epi, Iman dan Syamil. Semuanya gara-gara coret-coret di YM yang mengajak Syamil untuk menikmati pizza yang sememangnya telah lama dikempunankan. Saya mencadangkan untuk kami makan sahaja di Milano's Pizza kerana jarak yang dekat dengan uni kami, lebih kurang 7 minit jalan kaki sahaja. Bagaimanapun, Syamil menolak mentah-mentah cadangan untuk makan di kedai tersebut kerana katanya, pizza di kedai tersebut memeningkan kepalanya(saya rasa ok je,mungkin dia seorang yang cerewet kot,kesian la bakal isterinye nanti). Lalu, terkenangkanlah tempat kegemaran kami yang lebih jauh, 35 minit dengan menaiki tube dan DLR iaitu East Ham. Maka, perancangan diadakan dengan mengajak Iman, Epi dan Pali. Semua bersetuju kecuali Pali menolak, sibuk mengulangkaji Calculus gamaknye.

Sambil berjalan-jalan menuju ke kedai makan tersebut sesampainya kami di stesen tube East Ham, saya terfikirkan, mengapakah saya sanggup bergerak sejauh ini semata-mata untuk makan? Terasa seolah-olah diri ini mengamalkan prinsip hidup untuk makan, bukannya makan untuk hidup.

Justeru, kalaulah untuk makan pizza yang harganya lebih murah berbanding tambang yang dibayar ke East Ham saya sanggup sahaja melakukannya, maka saya hendaklah mempunyai kesanggupan yang lebih tinggi dalam menjalankan dakwah!

Jadi, sepatutnya, aktiviti makan-makan di East Ham seharusnya dijadikan agenda dakwah. Bukan hanya pergi dengan perut kosong, pulang dengan perut kenyang tanpa ada apa-apa usaha dakwah yang dilakukan bersama rakan-rakan sepanjang perjalanan pergi dan pulang.

Saya pernah terbacakan suatu ungkapan tetapi lupa di mana yang berbunyi, 'setiap saat adalah dakwah.'

Seterusnya, saya berharap, agar hari-hari mendatang menjadi hari-hari yang mekar dengan haruman bunga dakwah yang mampu menarik sang kumbang untuk hinggap menikmati tingginya nilai madu ilmu Sang Pencipta.