"Al-waajibaat aktharu min al-auqaat......"
"Kewajipan itu lebih banyak daripada masa......"
Kata-kata ini dipetik dariapada salah satu 10 wasiat Imam Hassan Al-Banna mengenai kepentingan menghargai masa.
Ini berikutan tanggungjawab yang kita galas sememangnya menuntut tumpuan masa yang banyak daripada kita. Wasiat ini juga bertujuan untuk mengelakkan pejuang-pejuang Islam daripada menjadikan tugas yang banyak sebagai alasan untuk tidak meneruskan perjuangan mereka walaupun dalam keadaan yang kurang rehat,kurang makan serta kekangan masa yang melampau kerana itu sememangnya lumrah perjuangan.
Saya kebelakangan ini sangat memandang enteng tentang pengurusan masa. Entah mengapa, kadang-kadang sahaja serius dengan masa terutamanya sewaktu kesempitan seperti membuat persediaan menghadapi Calculus Test Phase 2 baru-baru ini. Juga, terhegeh-hegeh menyiapkan kerja kursus Statistics and Probabilities yang bakal diserahkan Rabu depan.
Jika 'tiada kerja', maka banyaklah masa terbuang. Ini adalah kerana wujudnya tafsiran yang salah terhadap maksud 'tiada kerja' tersebut. Mana mungkin seorang pejuang Islam tiada kerja untuk dibuat sedangkan tuntutan itu melebihi masa. Mungkinkah kerana tahap saya belum mencapai seorang pejuang? Maka wujudlah istilah tiada kerja dalam kehidupan seharian ini.
Sebagai muhasabah, sama-samalah sibukkan diri kita dengan kerja-kerja yang berfaedah dan sekurang-kurangnya memenuhi syarat-syarat untuk dikira ibadah di sisi Allah. Antaranya ialah dengan menjadualkan apa yang bakal kita buat terutamanya pada esok hari.
Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini.
Sekian, terima kasih.