Sunday 10 January 2010

Nur di Norway



Assalamualaikum dan selamat kembali ke sekolah




Perjalanan ke Oslo pada 5 dan 6 Januari lalu amat menarik dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadapku walaupun awalnya seakan kecundang dengan ketajaman suhu sejuknya yang menusuk ke badan yang berdarah panas ini.

Namun, rahmat Allah yang begitu luas telah merehatkanku dan memberi harapan untuk aku meneruskan pengembaraan di Norway. Semuanya bermula di sebuah masjid dekat lorong Toyenbekken, Oslo City bersebelahan Bus Terminalen (terminal bas), kata orang Norway yang dikenali sebagai Norwegian. Masjid ini dengan nama rasminya Oslo Islamic Cultural Centre menjadi tempat aku dan Faris merehatkan diri di bawah naungan rahmatNya bersama heater yang diidam-idamkan sewaktu kesejukan menunggu train dari Rygge ke Oslo S. Di sinilah juga tempat pertemuan kami dengan beberapa saudara muslim yang menetap di Oslo yang seterusnya membina ikatan ukhuwah yang teguh secara yang tidak kami sangkakan. Semuanya takdir Allah.



Namun, ini takkan terjadi sekiranya kami tidak mengamalkan sikap suka berkenal-kenalan sesama muslim walau apa jua latar belakang, warna kulit, bangsa, bahasa dan kelas mereka kerana ukhuwah Islam itu tanpa sempadan. Ini kerana, kebanyakan orang Melayu Muslim Malaysia di UK selalunya agak susah untuk bertegur sapa dengan brother-brother muslim di sini dan mereka selesa pula bersama rumpun sendiri.

Selepas masjid selesai solat asar berjemaah, beberapa brother mengajak kami untuk makan bersamanya. Maka, dengan segan silu dan perut yang berkeroncongnya, kami terimalah tawaran tersebut. Orang buat baik, jangan ditolak!



Namun, sampai sahaja di depan kedai, brother tersebut berubah fikiran(atau mungkin malu-malu menyatakannya daripada awal,heheh,perasan pulak pelancong bajet ni), beliau bertanya kepada kami samada ingin makan masakan homemadenya atau makan sahaja di kedai itu. Kami menjawab, "I follow you!" sambil dalam hati teruja juga kerana beliau sanggup menjemput kami ke rumahnya dan memasak pula untuk kami. Makin malu-malu aku dibuatnya.

Seterusnya, dirumahnya yang ada satu bilik tidur itu, aku terkejut kerana mereka tinggal seramai lima orang di situ. Maka, tahulah aku mereka ni bukannya orang yang senang. Ia makin membuatkan aku rasa keseganan dengan layanan baik mereka walaupun hidup taklah sesenang mana. Mereka memasakkan kari ayam ala mamak (di Malaysia) dan kami makan bersama seramai 7 orang. Saat ini mengingatkan aku bagaimana layanan terhadap tetamu yang telah aku berikan. Mereka yang tidak senang itupun memuliakan tetamu dengan sebaik-baiknya walaupun ada sebahagiannya tidak dapat berbahasa Inggeris tetapi cuba juga berinteraksi dengan kami dengan bantuan terjemahan sahabat yang lain yang mampu berbahsa Inggeris.




Kehidupan mewah aku sebagai pelajar tajaan kerajaan Malaysia sebenarnya tidak menjamin aku untuk berlaku baik dengan tetamu. Hanya pesahabatan yang disentuhi iman sahaja yang mampu membuatkan aku melayan tetamu dengan bersungguh-sungguh. Mereka yang hidupnya agak sederhana begitu sekali memuliakan tetamu tanpa membeza-bezakan dan mencurigai kami daripada awal. Harun berkata apabila aku menyatakan rasa serba salahku terhadap layanan istimewa mereka terhadap kami sebagai orang asing yang baru dikenali beberapa jam,"It's alright brother, it's an honour to have you as our guests." Zaki pula berkata," don't worry, this is Allah's work, not ours." Maka, aku sangat-sangat berterima kasih kepada mereka.

Sebelumnya, aku ada meminta tolong Ahmed mencarikan tempat penginapan yang murah untuk kami dan beliau menyatakan," you don't have to think about that, we solve it for you." Kami sememangnya telah menyimpan beberapa alamat youth hostel sekitar Oslo tetapi tidak menempahnya dari awal dengan harapan dapat yang lebih murah dengan bantuan orang muslim tempatan yang lebih mengetahui. Tetapi, alangkah terkejutnya aku selepas makan, mereka menawarkan kami untuk tidur sahaja di rumah mereka. Aku menjadi semakin serba salah dengan tawaran tersebut kerana rumah mereka sememangnya tersedia padat. Bagaimanapun, dengan hati yang luhur, kami terima sahaja tawaran itu.



Sedikit selingan, mereka juga merupakan muslim yang taat pada perintah Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Mereka sangat menjaga ibadat mereka. Antara yang aku kagum mengenai mereka ialah, ketelitian mereka menjaga kebersihan. Sangat jarang aku menjumpai lelaki yang menitikberatkan hal-hal kebersihan seperti mereka terutama sekali kebersihan dapur dan bilik tidur. Dapur mereka tidak berbekas walaupun baru sahaja digunakan untuk memasak. Semuanya siap dikemas selepas selesai menjamu. Bilik tidur pula tidak bersepah dengan pakaian yang tidak berlipat-lipat dan bersepah-sepah seperti kebanyakan lelaki termasuk para pendakwah yang berdegar-degar di pentas dakwah masing-masing.



Pada malamnya, setelah pulang daripada berjalan-jalan di sekitar bandar Oslo melewati Karl Johan Street, Palace, National Theatre, Oslo University dan banyak lagi, kami bersembang-sembang dan berkenalan dengan lebih rapat tentang kehidupan masing-masing dan bagaimana kami boleh sampai kepada keadaan sekarang ini. Cerita-cerita yang dikongsikan sangat menyentuh hatiku dan memberikan inspirasi kepadaku untuk lebih bersyukur, memanfaatkan sebaiknya keupayaan yang ada dan terus menyumbang kepada ummah dengan lebih istiqamah. Semoga Allah tidak melenyapkan kisah-kisah ini daripada ingatanku.Amiin!



Keesokannya, aku dan Faris meneruskan perjalanan ke masjid lain di Calmeyers Gate untuk berkumpul dengan Iq, Apen dan Eg. Di masjid tersebut juga kami sempat berkenalan dengan sahabat yang baik-baik. Ada seorang pak cik menawarkan khidmatnya dalam bahasa Arab yang berbunyi,"do you need help?Nahnu fi khidmah(kami memang sedia membantu)." Kami berterima kasih kepadanya kerana kami memang sudah mempunyai perancangan yang tersendiri hari tersebut. Kemudian datang seorang anak muda lagi sebaya kami berkenalan, Abdul Kadir namanya. Beliau begitu seronok berkenalan dengan kami dan sanggup menawarkan apa-apa pertolongan kepda kami.

Namun, memandangkan kami akan pulang pada hari tersebut, beliau begitu kecewa kerana tidak mampu menolong kami dengan sebaiknya. Walauapapun, kami tetap berterima kasih atas niat baiknya dan beliau mencadangkan kami untuk datang lagi sewaktu summer kerana ia sememangnya tempoh waktu yang cukup indah di Norway dan beliau menyatakan yang beliau akan kecewa jika kami tidak meminta pertolongannya nanti jika kami direzekikan Allah untuk datang lagi ke Oslo. InsyaAllah dan terima kasih adalah balasan kami terdadap pelawaannya.



Seterusnya kami berlima mendapatkan Oslo Pass yang berharga 184 Krone untuk pelajar selepas potongan sebanyak 20%. Dengan menaiki bas, kami menuju ke Folkmuseet(Folk Museum) dan seterusnya ke Skipmuseet(Viking ship museum). Selepas itu, kami pulang ke masjid di lorong Toyenbekken berhampiran terminal bas tersebut dan ini memudahkan Iq, Apen dan Eg untuk menaiki bas ke Moss Airport nanti selepas solat Isyak. Aku dan Faris pula bakal menaiki train ke Rygge Airport di Oslo Sentral Stasjon.

Aku bertemu kembali dengan Zaki, Harun dan Ahmed di masjid tersebut. Kami berborak sebentar dankemudiannya mengucapkan selamat tinggal antara satu sama lain lebih kurang pukul 6.15 petang waktu tempatan(satu jam awal bebranding UK). Saat itu sunnguh mengharukan dan kami berpelukan begitu erat antara satu sama lain. Aku masih tidak dapat melupakan kata-kata Ahmed,"Come again next time, you came at the wrong time." Memang wrong time pun, ketika suhu di tahap -20 darjah celcius nilah jugak aku datang!



Tetapi, ukhuwah tidak mengenal kerendahan suhu, kepayahan meredah salji tebal dan kesukaran berbahasa.

Wrong time itulah yang menghubungkan aku dengan mereka.

Wrong time itulah menyebabkan aku berkira-kira untuk datang lagi ke Norway waktu summer nanti.

Wrong time itulah yang memberikan aku "NUR" di Norway.

Sekian, perkongsian pelancongan bajet dan singkat di Oslo, Norway, Nur bagiku di puncak Eropah.