Wednesday, 21 January 2009

Untukmu Sahabat

Maksud hadis-

"Tidak sempurna iman seseorang diantara kamu jika dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri"

Hadis ini sentiasa terngiang-ngiang di telinga tatkala duduk bersendirian menilai tahap persahabatan dengan rakan-rakan yang sedia ada. Saya selalu juga mendengar hadis ini pada banyak ceramah sebelum ini. Bagaimanapun, penghayatan hadis ini masih amat kurang dalam diri sendiri(tak mahu menceritakan mengenai orang lain).

Kebanyakan penjelasan yang saya dapat daripada ceramah dan pembacaan, hadis ini membawa maksud, iman kita tidak akan sempurna jika saudara kita tidak dikasihi sebagaimana kita kasih kepada diri.

Contoh umumnya,jika kita sangat benci dihumban ke neraka, sebanyak itulah kita mesti membenci saudara kita dihumban ke neraka.Kalau kita tergila-gilakan syurga, sebanyak itulah juga kita ingin saudara kita bersama-sama ke sana.Bagaimana?

Dunia ini diibaratkan tempat bercucuk tanam dan akhirat pula sudah tentu tempat menuainya. Maka, di dunia inilah kita bertani berpandukan hadis ini sama ada kita ingin ke syurga atau ke neraka.Perlu pilih lagi?

Sudah tentu kita ingin ke syurga. Jadi, saudara-saudara seIslam juga perlu kita libatkan dalam menuai hasil yang kita semai itu.

Persoalannya, adakah kita sudi berkongsi projek dan hasil pertanian tersebut dengan ahli keluarga,kawan-kawan serta umat Islam seluruhnya?

Selalunya,jika memberi sedekah pakaian kepada orang susah, kita bagi yang buruk-buruk, yang sudah lama tak dipakai. Jika makan, kita pastikan bahagian kita yang cukup dahulu. Jika solat,kita tak kisah bagaimana keadaan solat keluarga dan kawan kita, asalkan solat kita diterima Allah. Kalau sahabat memerlukan wang, kita bagi, tapi setelah berfikir sangat panjang atau bagi sangat sedikit. Jika elaun kita tak cukup, kita melenting melatah,gegak gempita jadinya.Sebaliknya, apabila kawan kita yang menerimanya(sehingga langsung tak menerima elaun), menyoroklah kita bersenang bermewah di hujung dunia bersendirian.

Jika berbalik kepada sirah, Nabi Muhammad saw mengasihi para sahabat lebih daripada dirinya sendiri. Ketika menggali parit membuat persediaan menghadapi Perang Khandaq, ada sahabat mengikat perut mereka dengan sebongkah batu menahan lapar. Tahukah kita baginda saw mengikat dua bongkah batu diperutnya?

Begitu juga para sahabat, mereka mengasihi baginda saw dengan sekasih-kasihnya. Abu Bakar merelakan dirinya dipatuk ular sewaktu di Gua Thur demi tidak ingin mengganggu Rasulullah saw yang sedang tidur di pangkuannya. Umar hampir memancung seorang kafir yang menyentap serban kekasih Allah sehingga berbekas merah di lehernya.Ali yang comel memikul tanggungjawab menggantikan tempat tidur sepupunya saw yang ingin berhijrah ke Madinah.

Kita di mana?Bagaimana kita mengasihi ahli keluarga dan kawan-kawan kita?Sudah cukupkah kasih sayang kita kepada manusia ulung Muhammad saw agar kita diakuinya sebagai ummat di akirat nanti?

Justeru, tingkatkanlah nilai persaudaraan kita dengan mengasihi saudara-saudara kita sekurang-kurangnya sama dengan kita mengasihi diri sendiri.

(Saya juga terkena dengan tulisan ini).
Luahan hati, sentuhan rasa, persahabatan dari hati untuk hati.

Sekian.

No comments: