Assalamualaikum.
Tulisan ini ditujukan kepada rakan-rakan yang sedang giat mencari rumah untuk disewa bagi tahun akademik akan datang. Penekanan adalah pada panduan memilih ahli rumah, mencari rumah, membuat keputusan dan beberapa nasihat atau teguran berdasarkan pengalaman peribadi yang singkat di London. Semoga bermanfaat.
Memilih ahli rumah, mencari rumah dan membuat keputusan
1.Carilah sahabat-sahabat yang dapat memahami antara satu sama lain kerana anda akan berkongsi dapur, tandas, ruang tamu bahkan bilik tidur dengan mereka. Lebih baik lagi, carilah orang yang boleh menghidupkan dan menjaga suasana harmoni di dalam rumah dan dalam masa yang sama mudah menerima teguran. Jika tidak, sengsaralah hidup anda selama setahun. Ini adalah kisah benar hasil pengamatan peribadi terhadap rakan-rakan sekitar London dan UK.
2.Jangan banyak sangat pilihannya(rumah dan orang), nanti pening.
3.Kadang-kadang, ada tuan rumah yang hanya membenarkan bilangan orang yang tinggal di rumahnya hanyalah mengikut bilangan bilik. Tanya dahulu ya.
4.Pilihlah kawasan yang memudahkan kalian melakukan aktiviti asas contohnya ke masjid, ke universiti, berjumpa kawan dan masyarakat, menyambut tetamu dan sebagainya yang dirasakan sesuai.
5.Kebiasaannya, jika harga sewa yang diiklankan ialah harga "per week", jumlah sewa sebulan ialah dengan mendarabkan harga tersebut dengan 52 minggu dan dibahagikan dengan 12, bukan terus didarab dengan empat. Harganya akan lebih banyak. Jangan terpedaya.
6.Bagi mengelakkan daripada ditipu, pastikan anda mengadakan pertemuan dengan ejen atau pengiklan tersebut di rumah berkenaan dan tahu akan kewujudan syarikatnya (nama, nombor pendaftaran dan lokasi pejabat). Jangan sesekali melakukan online transfer sebelum terbukti rumah tersebut wujud dan kontrak sewaan ditandatangani. Dinasihatkan untuk menggunakan banker's cheque/draft untuk lebih selamat sebab bank sendiri yang akan authorize bayaran tersebut (bank akan pastikan kewujudan estate agent tersebut).
7.(Bagi ejen yang ketat syaratnya)Jenis penyewa dan pembayaran. Ada tiga syarat penyewa persendirian yang dikaitkan dengan cara pembayaran yaitu:
i) Ada pekerjaan dan pendapatan yang mencukupi-dibuktikan dengan slip gaji(tidak termasuk financial guarantee)
ii)Jika tiada pendapatan, perlukan penjamin (guarantor)- setiap orang atau seorang sahaja untuk semua
iii)Jika tiada penjamin, perlu membayar pendahuluan sewa untuk 6 bulan. Kemudian, 6 bulan lagi.
*bagaimanapun, kebanyakan ejen agak baik dengan sistem bayaran tiga bulan atau sebulan sekali.
8.Penting - Pastikan semua orang menandatangani kontrak supaya tiada orang yang tidak bertanggung jawab keluar di tengah-tengah tempoh sewaan! Lainlah kalau ada orang yang sanggup bayar lebih bila ada orang keluar.
9.Periksa dan jaga inventori dengan baik. Jika tidak, ada risiko kehilangan deposit.
10.Tinggallah dengan aman di mahligai yang terpilih itu. Rumahmu, syurga duniamu.
Nasihat
1.Mulai dari sekarang (April), perlu putuskan samada hendak mendantangani kontrak bermula Jun/Julai atau Oktober(selepas cuti musim panas).
i)Jika bermula Jun/Julai, janganlah pula membeli tiket balik ke Malaysia sebelum tarikh tanda kontrak atau sebelum masuk ke rumah. Kelak, susahkan orang lain untuk buat kerja kita terutamanya hal pemindahan barang. Lainlah kalau simpan di mana-mana storage sebelum balik.
ii)Jika bermula Oktober, janganlah menumpang barang di rumah orang-orang yang mulakan kontrak mereka pada Jun/Julai. Bagi saya, itu adalah sikap mengambil kesempatan dan saya gelarkan sebagai opportunist, jika alasannya hanyalah untuk jimatkan wang sendiri. Lainlah kalau ada hal-hal yang tak disangka-sangka atau tak dapat dielakkan (boleh fikir sendiri guna common sense). Biasalah, setiap perkara mesti ada kes-kes terpencil. Yang penting, janganlah kita mengambil kesempatan atas kehabisan duit orang lain. Lebih baik hantar storage. Lagi bermaruah dan bukanlah mahal sangatpun.
2.Carilah rumah awal-awal. Nanti sibuk pula untuk mula belajar kalau nak tunggu Oktober. Maka, terpaksalah menumpang rumah orang lain yang dah mula kontrak seawal Jun/Julai.
3.Bagi rumah yang tidak inclusive sewaannya, anda perlu uruskan bayaran bil-bil gas dan elektrik, telefon dan internet dan air. Pengalaman saya, jumlah yang kami (5 orang) bayar setiap orang ialah sekitar £30 sebulan untuk kesemuanya. Anggaran kasar:
Gas dan Elektrik £100.00
Telefon (landline untuk internet) £11.50
Internet £18.00
Air £25.00
Jumlah £154.50
4. Belajarlah berdikari untuk menguruskan sendiri keperluan asas anda. Tempat tinggal dan hal-hal yang berkaitan dengannya adalah keperluan asas sepertimana makan, minum dan keluar masuk tandas. Jangan biarkan orang lain melakukannya untuk anda.
Itu sahaja daripada saya setakat ini. Jika ada lagi, saya akan kongsi. Kalau nak bertanya boleh hubungi terus. Kalau perlukan bantuan, saya hanya akan bagi tukul dan pahat, anda yang membinanya sendiri. Apa jadi, Allahua'lam:)
Barakallahufikum.
No comments:
Post a Comment