Wednesday, 13 May 2009

Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?

Alhamdulillah. semalam, tamatlah riwayat pengulangkajian bagi subjek Probability and Statistics pada pukul 4.45pm yang bertempat di bangunan King William 016. Saya berharap segala jawapan yang dipersembahkan sama dengan apa yang dikehendakai oleh Mahaguru Dr Ramesh Nadarajah.

Hari ini, lawatan ke East Ham diadakan dan pesertanya ialah saya, Epi, Iman dan Syamil. Semuanya gara-gara coret-coret di YM yang mengajak Syamil untuk menikmati pizza yang sememangnya telah lama dikempunankan. Saya mencadangkan untuk kami makan sahaja di Milano's Pizza kerana jarak yang dekat dengan uni kami, lebih kurang 7 minit jalan kaki sahaja. Bagaimanapun, Syamil menolak mentah-mentah cadangan untuk makan di kedai tersebut kerana katanya, pizza di kedai tersebut memeningkan kepalanya(saya rasa ok je,mungkin dia seorang yang cerewet kot,kesian la bakal isterinye nanti). Lalu, terkenangkanlah tempat kegemaran kami yang lebih jauh, 35 minit dengan menaiki tube dan DLR iaitu East Ham. Maka, perancangan diadakan dengan mengajak Iman, Epi dan Pali. Semua bersetuju kecuali Pali menolak, sibuk mengulangkaji Calculus gamaknye.

Sambil berjalan-jalan menuju ke kedai makan tersebut sesampainya kami di stesen tube East Ham, saya terfikirkan, mengapakah saya sanggup bergerak sejauh ini semata-mata untuk makan? Terasa seolah-olah diri ini mengamalkan prinsip hidup untuk makan, bukannya makan untuk hidup.

Justeru, kalaulah untuk makan pizza yang harganya lebih murah berbanding tambang yang dibayar ke East Ham saya sanggup sahaja melakukannya, maka saya hendaklah mempunyai kesanggupan yang lebih tinggi dalam menjalankan dakwah!

Jadi, sepatutnya, aktiviti makan-makan di East Ham seharusnya dijadikan agenda dakwah. Bukan hanya pergi dengan perut kosong, pulang dengan perut kenyang tanpa ada apa-apa usaha dakwah yang dilakukan bersama rakan-rakan sepanjang perjalanan pergi dan pulang.

Saya pernah terbacakan suatu ungkapan tetapi lupa di mana yang berbunyi, 'setiap saat adalah dakwah.'

Seterusnya, saya berharap, agar hari-hari mendatang menjadi hari-hari yang mekar dengan haruman bunga dakwah yang mampu menarik sang kumbang untuk hinggap menikmati tingginya nilai madu ilmu Sang Pencipta.


No comments: