Tuesday 31 March 2009

Bala: Antara Nikmat, Ujian, Bencana dan Kehinaan

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Seringkali kita mengertikan bala itu suatu bencana yang menimpa. Bala juga merupakan tanda kehinaan diri kita terhadap Allah. Allah telah melupakan dan murka terhadap kita. Lalu dihempaskanlah pantai Acheh dengan 'bala' tsunami pada 26 Disember 2004. Bumi Arab yang asalnya subur dengan keilmuan Islam sekarang di bawah jentikan dan telunjuk barat yang kafir. Kala ini, ramai yang meratap dan lupa mengucapkan Innalillahi wainna ilaihi rajiun(sesungguhnya kepada Allah jualah kami akan dikembalikan).

Namun, kemajuan dan kemewahan yang dikecapi pula dikatakan suatu nikmat dan rahmat daripada Allah swt. Maka, dikatakan juga kita dimuliakan Allah swt apabila keputusan sesuatu pertandingan atau pepriksaan menyebelahi kita. Lalu, masa ini sahajalah diucapkan Alhamdulillah.
Walaubagaimanapun, ayuhlah kita sama-sama menyingkap rahsia di sebalik perkataan 'bala' itu sendiri.

Sebagai panduan, saya ingin membawa kita semua merujuk kepada petikan dua ayat al-Quran di bawah daripada surah al-Fajr 89:15&16.

فَأَمَّا ٱلۡإِنسَـٰنُ إِذَا مَا ٱبۡتَلَٮٰهُ رَبُّهُ ۥ فَأَكۡرَمَهُ ۥ وَنَعَّمَهُ ۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَكۡرَمَنِ (١٥) وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبۡتَلَٮٰهُ فَقَدَرَ عَلَيۡهِ رِزۡقَهُ ۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَهَـٰنَنِ (١٦
Maka, adapun manusia itu, apabila tuhannya mengujinya dengan memuliakannya dan memberinya nikmat maka die berkata, "tuhanku telah memuliakan daku"(15) Dan adapun apabila tuhannya mengujinya dan disempitkan pula rezekinya maka dia berkata,"tuhanku telah menghinakan daku"(16).


Melalui ayat 15, Allah menceritakan yang manusia ini merasakan dirinya dimuliakan apabila diberi kesenangan oleh Allah swt. Pada ayat yang seterusnya, manusia dikatakan merasakan dirinya dihinakan apabila diberi sedikit kesusahan oleh Allah swt.

Jika difikir-fikirkan, tuhan yang memberi kesenangan dan kesusahan itu adalah tuhan yang sama. Tetapi, mengapakah yang satunya dikatakan 'memuliakan'(akraman) dan yang satu lagi dikatakan 'menghinakan'(ahaanan). Jika diperhatikan, Allah menggunakan satu perkataan yang sama bagi menggambarkan keadaan sebenar yaitu 'mabtalahu' yang bermaksud cubaan. Seperti yang kita faham melalui filem Pendekar Bujang Lapok, mereka diingatkan oleh sang guru bahawa apa sahaja yang datang sewaktu mereka bertapa hanyalah 'cobaan'.

Mabtalah menggambarkan satu istilah dalam bahasa Arab yang disebut ibtila'. Ibtila' bermaksud cubaan atau ujian samada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan. Masalah timbul apabila kita secara mudah menterjemahkan perkataan ini atau 'bala' ke dalam bahasa Melayu sebagai bencana sahaja. Sedangkan, bala sepatutnya difahami juga dalam perkara-perkara yang membawa kesenangan.

Sebagai contoh, Encik Famy mempunyai rumah yang besar, kereta besar, isteri yang cantik, anak-anak yang bijak dan cantik mongel, keluarga yang bahagia serta duit yang melimpah ruah sangat dipandang tinggi oleh masyarakat setempat. Mereka mengatakan bahawa hidup Encik Famy sememangnya dirahmati Allah.


Encik Famy

Lain pula jadinya dengan Pak Leman Jenin. Sudahlah motorsikalnya buruk, terlibat dalam kemalangan pula sewaktu menghantar anaknya ke sekolah. Lesen pula tiada. Duitpun cukup-cukup makan sahaja. Inikan pula hendak membayar saman. Maka, orang mengatakan yang Pak Leman Jenin ini sudah jatuh ditimpa tangga. Hidupnya jauh daripada rahmat Allah.


Pak Leman Jenin?

Mana satu yang mendapat rahmat Allah? Encik Famy atau Pak Leman Jenin? Secara umumnya, jawapan sudah diperoleh melalui tanggapan oleh masyarakat tadi. Namun, yang seharusnya menjadi perhatian bukanlah apa yang mereka miliki atau hadapi. Bahkan, sekaya manapun Encik Famy, dia tidak akan mampu untuk membeli syurga Allah.

Justeru, yang harus dipertimbangkan di sini ialah bagaimana kedua-duanya menghadapi apa yang ada dalam hidup mereka. Sebagaimana Encik Famy mesti membelanjakan hartanya di jalan Allah, begitulah juga Pak Leman Jenin mesti menggunakan kemelaratan hidupnya untuk mendapatkan rahmat Allah.

Encik Famy hendaklah menunaikan zakat(wajib), menghulurkan derma(mungkin juga kepada keluarga Pak Leman Jenin), menaja majlis-majlis ilmu, menginfakkan hartanya kepada pertubuhan-pertubuhan yang bermanfaat untuk masa hadapan Islam dan sebagainya. Dia tidak boleh sombong dengan kekayaan yang dimilikinya kerana itu hanyalah milik Allah semata-mata. Keikhlasan harus ditanam dalam hatinya dengan mengelakkan sifat riak(menunjuk-nunjuk), sum'ah(merasakan amalnya sudah cukup hebat), 'ujub(kagum dengan diri-sendiri) dan takabbur(membangga diri).

Pak Leman Jenin haruslah bersyukur dan bersifat qanaah(merasa cukup dengan apa yang ada). Dia haruslah berusaha untuk mengubah kehidupan keluarganya. Terutamanya, dengan mengambil berat tentang pendidikan rohani dan jasmani anak-anaknya agar mereka menjadi seperti apa yang Allah sebut dalam surah al-Baqarah ayat 30 dan az-Zariyat ayat 56. Menjadi khalifah dan hamba yang sentiasa beribadat kepadaNya.

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬‌ۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيہَا مَن يُفۡسِدُ فِيہَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ‌ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ (٣٠
Dan ingatlah ketika tuhanmu berkata kepada para malaikat, " Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi," mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan oang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikanMu?," Allah berfirman, "Sesungguhnya aku mengetaui apa yang tidak kamu ketahui."
Al-Baqarah 2:30



وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦
Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat(kepadaKu)
Az-Zariyat 51:56

Kahlifah sememangnya beribadat kepada Allah

Jika Encik Famy silap menggunakan kekayaannya atau memperolehnya dengan cara yang haram seperti rasuah, riba atau sebagainya, maka dia tetap akan menempah neraka Allah yang maha dahsyat seksaannya itu. Begitu juga dengan Pak Leman Jenin, jika dia merasakan dirinya dihina Allah dengan kemelaratan hidupnya lantas malas berusaha dan menjerumuskan ahli-ahli keluarganya ke lembah yang lebih tidak bertanggung jawab, dia juga sama seperti Encik Famy. Nerakalah yang paling sesuai untuk kedua-duanya.

Kesimpulannya, apa sahaja yang kita hadapi dalam hidup, hendaklah tanamkan dalam hati ini bahawa segala-galanya adalah ujian daripada Allah. Kesusahan atau kesenangan bukanlah persoalannya, tetapi ia mengenai bagaimana kita menghadapinya kerana masalah itu untuk diselesaikan dan bukan hanya untuk difikir-fikirkan.

Semoga kita terus tabah dalam mengahdapi liku-liku hidup yang penuh dengan ranjau ini dan sentiasa menapak selangkah demi selangkah menuju ke syurgaNya Yang Esa.

Sekian, terima kasih.

No comments: