Friday, 25 September 2009

Kembara Di Ambang Raya II

Rupa-rupanya aku kehilangan boarding pass atau pas penerbangan. Kerana tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, aku menggelabah tidak tentu arah. Cuba berpatah balik mencari kalau-kalau tercicir sewaktu menggunakan mesin imigresen automatik kerana aku rasa aku menyelitnya di dalam pasport. Namun tak ketemu jua. Setelah kesuntukan masa, aku diberitahu untuk ke transfer desk atau meja persinggahan dekat dengan pintu pelepasan. Sedangkan, boleh sahaja aku pergi awal-awal dan terus minta pegawai di situ buat yang baru untuk aku. Adoi....berpeluh-peluh aku berkejaran ke sana ke mari. Pi mai pi mai tang tu jugak.

16 September 2009

Transit 19 jam 20 minit di Brunei sangat membosankan dan aku pula tidak bercadang untuk keluar meronda-ronda kerana letih dan pernah sudah aku ronda-ronda Bandar Seri Begawan sewaktu transit dari London ke Kuala Lumpur tiga bulan lepas. 10 jam yang itu pun sudah kurasa membosankan.

Aku menyewa sebuah bilik di lapangan terbang Brunei. Setelah petang lebih kurang 5.45pm, aku keluar dan melayari internet sementara menunggu waktu berbuka masuk. Alhamdulillah! Komputer kat situ dilengkapi dengan kemudahan skype. berbaki kredit yang ade sebanyak beberapa pound, aku buat panggilan kepada mama dan sanak saudara. Hatiku hiba. Jauhnya aku keseorangan di perantauan meninggalkan mama dengan sakit rindu. Menitis juga air mataku.

Setelah dipanggil lebih kurang pukul 7.20pm, aku bergerak ke tempat pemeriksaan keselamatan sebelum masuk ke dalam kapal terbang. Aku meletakkan beg galas yang mengandungi laptop untuk di scan. Kemudian semua barang yang berasaskan besi seperti tali pinggang, jam casio tercinta yang bernilai RM 50 yang aku beli sebelum fly ke UK tahun lepas termasuk juga cincin permata delima yang dihadiahkan Cikgu Ripin, aku masih memakainya. Terima kasih kuucapkan.

Masuk sahaja ke dalam kapal terbang, sekali lagi aku kehilangan pas penerbangan. Aku tak tahu mengapa kali ini aku begitu cuai. Ini bermakna, aku kehilangan kesemua pas penerbangan. Mungkin akan sedikit bermasalah sikit bila transit di Dubai nanti. Tapi aku tidak terlalu runsing sebab aku tahu memang syarikat penerbangan telah sedia mempunyai data pelanggan mereka. Perkara yang paling aku tunggu-tunggu ialah makan malam walaupun baru tadi berbuka puasa dengan nasi berlaukkan ayam masak kicap dan sambal telur. Lepas makan baru aku berasa aman untuk tidur. Patutlah mesin penimbang tidak pernah bermurah hati untuk tawar menawar dengan aku bila aku menimbang berat. Adeh....

Transit selama lebih kurang sejam di Dubai tidaklah terlalu membosankan. Sempat juga aku 'membetulkan urat' bak kata orang Kelantan setelah lama terperuk dalam kapal terbang.

17 September 2009

Sesampainya di London Heathrow Airport pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, aku terasa makin syahdu. Aku menangis lagi dalam keadaan perasaan yang bercampur baur. Sedih meninggalkan kampung halaman, gembira dapat meneruskan perjuangan lagi di UK(London) dan teringatkan peristiwa-peristiwa sepanjang 3 bulan bercuti panas di Malaysia.

Kali ini ada perubahan di imigresen. Aku tidak lagi perlu masuk dalam lorong "First time students and dependents" malah aku berjalan dengan tenang ke lorong "Non-EU passport dan continuing students."Terbayang-bayang kali pertama sampai ke UK dulu dan berbaris di lorong yang sebelah itu bersama Pali, Iman dan beberapa pelajar perempuan lain memakai kot yang bernilai RM 400 tetapi dengan muka baru bangun tidur dan belum mandi.

Aku menelefon Iqtidar yang sudah sampai sehari sebelum bersama Faris. Kedua-duanya merupakan teman serumah aku. Sesampainya aku di 74 Lapworth Court, aku bersalaman dengan Iqtidar dan Faris. Hajat awalnya ingin tidur tetapi tidak jadi kerana rumah sudah dilengkapi dengan kemudahan internet yang aku tidak ada sewaktu di rumah di Bachok. Terasa bagai dibius pula bila menghadap laptop. Mengantuk tidak terasa.

Masih berbaki tiga hari untuk berpuasa. Aku harap dapat menyempurnakannya dengan amat baik memandangkan aku akan berpisah dengan Ramadhan dan tidak pasti adakah aku masih bertuah untuk menjadi tetamu Ramadhan pada tahun 1431 Hijrah nanti.

Setakat itu sahajalah dahulu Kembara di Ambang Raya berakhir. Sekadar coretan hati yang rindukan kenangan lalu.

Sekian, terima kasih.




No comments: