Friday 25 September 2009

Kembara Di Ambang Raya II

Rupa-rupanya aku kehilangan boarding pass atau pas penerbangan. Kerana tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, aku menggelabah tidak tentu arah. Cuba berpatah balik mencari kalau-kalau tercicir sewaktu menggunakan mesin imigresen automatik kerana aku rasa aku menyelitnya di dalam pasport. Namun tak ketemu jua. Setelah kesuntukan masa, aku diberitahu untuk ke transfer desk atau meja persinggahan dekat dengan pintu pelepasan. Sedangkan, boleh sahaja aku pergi awal-awal dan terus minta pegawai di situ buat yang baru untuk aku. Adoi....berpeluh-peluh aku berkejaran ke sana ke mari. Pi mai pi mai tang tu jugak.

16 September 2009

Transit 19 jam 20 minit di Brunei sangat membosankan dan aku pula tidak bercadang untuk keluar meronda-ronda kerana letih dan pernah sudah aku ronda-ronda Bandar Seri Begawan sewaktu transit dari London ke Kuala Lumpur tiga bulan lepas. 10 jam yang itu pun sudah kurasa membosankan.

Aku menyewa sebuah bilik di lapangan terbang Brunei. Setelah petang lebih kurang 5.45pm, aku keluar dan melayari internet sementara menunggu waktu berbuka masuk. Alhamdulillah! Komputer kat situ dilengkapi dengan kemudahan skype. berbaki kredit yang ade sebanyak beberapa pound, aku buat panggilan kepada mama dan sanak saudara. Hatiku hiba. Jauhnya aku keseorangan di perantauan meninggalkan mama dengan sakit rindu. Menitis juga air mataku.

Setelah dipanggil lebih kurang pukul 7.20pm, aku bergerak ke tempat pemeriksaan keselamatan sebelum masuk ke dalam kapal terbang. Aku meletakkan beg galas yang mengandungi laptop untuk di scan. Kemudian semua barang yang berasaskan besi seperti tali pinggang, jam casio tercinta yang bernilai RM 50 yang aku beli sebelum fly ke UK tahun lepas termasuk juga cincin permata delima yang dihadiahkan Cikgu Ripin, aku masih memakainya. Terima kasih kuucapkan.

Masuk sahaja ke dalam kapal terbang, sekali lagi aku kehilangan pas penerbangan. Aku tak tahu mengapa kali ini aku begitu cuai. Ini bermakna, aku kehilangan kesemua pas penerbangan. Mungkin akan sedikit bermasalah sikit bila transit di Dubai nanti. Tapi aku tidak terlalu runsing sebab aku tahu memang syarikat penerbangan telah sedia mempunyai data pelanggan mereka. Perkara yang paling aku tunggu-tunggu ialah makan malam walaupun baru tadi berbuka puasa dengan nasi berlaukkan ayam masak kicap dan sambal telur. Lepas makan baru aku berasa aman untuk tidur. Patutlah mesin penimbang tidak pernah bermurah hati untuk tawar menawar dengan aku bila aku menimbang berat. Adeh....

Transit selama lebih kurang sejam di Dubai tidaklah terlalu membosankan. Sempat juga aku 'membetulkan urat' bak kata orang Kelantan setelah lama terperuk dalam kapal terbang.

17 September 2009

Sesampainya di London Heathrow Airport pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, aku terasa makin syahdu. Aku menangis lagi dalam keadaan perasaan yang bercampur baur. Sedih meninggalkan kampung halaman, gembira dapat meneruskan perjuangan lagi di UK(London) dan teringatkan peristiwa-peristiwa sepanjang 3 bulan bercuti panas di Malaysia.

Kali ini ada perubahan di imigresen. Aku tidak lagi perlu masuk dalam lorong "First time students and dependents" malah aku berjalan dengan tenang ke lorong "Non-EU passport dan continuing students."Terbayang-bayang kali pertama sampai ke UK dulu dan berbaris di lorong yang sebelah itu bersama Pali, Iman dan beberapa pelajar perempuan lain memakai kot yang bernilai RM 400 tetapi dengan muka baru bangun tidur dan belum mandi.

Aku menelefon Iqtidar yang sudah sampai sehari sebelum bersama Faris. Kedua-duanya merupakan teman serumah aku. Sesampainya aku di 74 Lapworth Court, aku bersalaman dengan Iqtidar dan Faris. Hajat awalnya ingin tidur tetapi tidak jadi kerana rumah sudah dilengkapi dengan kemudahan internet yang aku tidak ada sewaktu di rumah di Bachok. Terasa bagai dibius pula bila menghadap laptop. Mengantuk tidak terasa.

Masih berbaki tiga hari untuk berpuasa. Aku harap dapat menyempurnakannya dengan amat baik memandangkan aku akan berpisah dengan Ramadhan dan tidak pasti adakah aku masih bertuah untuk menjadi tetamu Ramadhan pada tahun 1431 Hijrah nanti.

Setakat itu sahajalah dahulu Kembara di Ambang Raya berakhir. Sekadar coretan hati yang rindukan kenangan lalu.

Sekian, terima kasih.




Saturday 19 September 2009

Kembara Di Ambang Raya

Selasa 15 September 2009

Hari ini merupakan hari yang menyedihkan. Mama dan juga aku dan orang-orang di sekelilingku yang kurang dapat menerima bahawa aku 'harus' bertolak pulang ke London lima hari sebelum raya. Aku berharap keputusan yang aku buat sewaktu membeli tiket enam bulan lalu itu adalah yang terbaik untukku di sisi Allah dan aku amat mengharapkan keampunanNya andai keputusan itu melukakan hati orang-orang tersayang dalam hidupku terutamanya mama. Seusai zohor di Masjid Pak Su Hj Lah, aku bersalaman meminta maaf dengan jemaah dan mengucapkan selamat tinggal.

Hampir pukul tiga petang, semua yang ingin menghantarku berkumpul di rumahku. Ayah dengan Mok ditemani Abe Solah tiba di rumah sebelum zohor lagi. Cikgu Ripin, Mok Su Mah dan Arif pula tiba hampir-hampir pukul tiga.Aku sungguh menghargai kehadiran mereka. Walaupun mereka bukan daripada keluarga terdekatku, aku menganggap mereka seperti ahli keluargaku sendiri, seperti yang dituntut oleh Islam. Bukan senang nak cari orang yang sanggup menghantar kita ke airport kalau dia bukan dari keluarga terdekat. Ini membuatkan aku lebih dekat dengan mereka. Terima kasih tak terhingga aku ucapkan. Moga ukhuwah kita akan terus berkembang mekar.

Aku memandu kereta mama buat kali terakhir. Bersama di dalam kereta, Li dan Iq. Tepat jam 3.30pm waktu Malaysia, aku tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dan bersedia untuk check-in.



Kemudian, kulihat kelibat Mok Su, Pok Su Lid dan Imran. Dalam celahan orang ramai, aku nampak juga Aqil dan Ikrami. Rupanya mereka datang dengan Mok. Aqil , Imran dan Ikrami memang si cilik tiga serangkai yang tak dapat dipisahkan. Aku sentiasa cuba menerapkan elemen pendidikan apabila bersama mereka. Agar kanak-kanak ini dicorakkan dengan minda yang sihat. Aku cuba mendidik mereka berfikir di luar kotak dan juga menjadi orang yang berani dalam banyak perkara seperti memanjat, masuk hutan. Kerana kebanyakan budak-budak zaman sekarang sangat penakut dengan semut, kumbang, hutan, ulat, lumpur dan macam-macam lagi yang menjadi kebiasaan aku sewaktu seusia mereka. Sekali-sekala, kuterapkan teka-teki mengenai sirah nabi-nabi dan soalan matematik yang sedikit tinggi daripada apa yang mereka belajar di sekolah.


Selepas check-in, aku mulakan sesi bergambar. Sangat kuinginkan saat ini sebab tahun lepas ada masalah dengan kamera menyebabkan hanya dua keping sahaja yang sempat diambil.

Flight yang asalnya pukul 4.35pm ditunda ke pukul 5. Sebelum pemeriksaan keselamatan, aku bersalaman dan berpelukan. Bermula dengan mama, bersama pelukan yang erat, hatiku mula sayu. Namun, aku tak mampu menangis. Semua yang kumahu sekarang ini hanyalah keceriaan. Aku cuba senyum dan ketawa sedikit. Maaf dipinta seiring ucapan Selamat Hari Raya dan juga ucapan terima kasih kepada semua yang hadir.




Selepas pemeriksaan keselamatan, aku tidak boleh keluar lagi. Bila kulihat papan makluman, flight ku ditunda lagi. Kali ini ke pukul 6.05 pm. Aku sedikit kecewa.

Sesampainya di KLIA, abang-abang aku, Abe Mat dan Dek menunggu bersama Apih dan Ee. Kami berbuka bersama di food garden.

Abe Mat menghadiahkan aku sehelai baju yang dijualnya dan sedikit cenderahati dari Hong Kong. Aku isikannya ke dalam beg yang sememangnya sudah sedia penuh dengan cenderahati dan makanan. Aku sangat menghargai semuanya. Tidak mampu untuk membalasnya.

Lebih kurang jam lapan malam, aku mula check-in bagi penerbangan ke Brunei. Tak lama kemudian, abah sampai bersama Pok Cik Ali. Kami semua berkumpul dan berborak seketika sementara menunggu aku berpisah dan menuju ke tempat pemeriksaan keselamatan.





Sebelum berpisah, kami bersalaman dan berpelukan. Aku sangat merindukan saat tersebut. Aku minta maaf dan mengucapkan salam perpisahan seterusnya menaiki aerotrain ke Pintu C 11.

Hampir-hampir menaiki aerotarin, aku perasan yang aku kehilangan sesuatu. " Allah," aku melatah sendirian. Tidak jadi melangkah ke dalam aerotrain itu.

InsyaAllah akan ku sambung lagi dalam update yang akan datang.